SEJARAH SEKOLAH

SK Haji Ismail merupakan Sekolah Melayu yang ditubuhkan sekitar tahun 1920’an.Terletak di Pekan Kuala Kedah iaitu kira-kira 16 kilometer dari Bandar Alor Setar.Kedudukannya bersebelahan jalan utama dan berhadapan dengan Terminal Feri Kuala Kedah – Langkawi.

Sebelum ini SK Haji Ismail dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Seberang Nyonya kerana dibina di Kampung Seberang Nyonya.Pada awalnya sekolah ini mempunyai satu blok bangunan kayu dengan lapan orang guru dan 140 orang murid yang semuanya berbangsa melayu.Encik Abdullah Bin Md. Noor telah dipilih sebagai guru besar yang pertama.

Keadaan bangunan sekolah yang agak uzur telah dibaik pulih oleh Tuan Haji Ismail Bin Ibrahim AMN., JP. bersama penduduk setempat secara bergotong-royong.Ketokohan Tuan Haji Ismail Bin Ibrahim jelas diperlihatkan apabila beliau dipilih sebagai pemimpin masyarakat setempat yang banyak berjasa dan disegani ramai pada ketika itu.

Perkembangan pembangunan yang mana menjadikan Kuala Kedah sebagai pintu masuk ke Langkawi telah menyebabkan kedudukan sekolah tidak begitu kondusif dan sesuai.Bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan dalam keadaan tenang dan terkawal maka sekolah baru telah dibina di tapak baru yang jaraknya cuma 3 kilometer dari sini sebagai ganti.Setelah siap sekolah baru tersebut sekitar tahun 1997,nama SK Seberang Nyonya telah digunapakai disana dan murid-murid sedia ada disini akan berpindah ke sekolah baru tersebut.Bagaimanapun,perancangan tersebut gagal direalisasikan.Tapak SK Seberang Nyonya yang asal dikekalkan dan diberikan nama baru iaitu SK Haji Ismail manakala sekolah baru tersebut meneruskan penggunaan nama SK Seberang Nyonya sehinggalah pada tahun 2016 mereka menukarkannya kepada SK Haji Salleh Masri.

Kini SK Haji Ismail dengan cogan kata “Bersatu,Berusaha,Berjaya” telah berdiri gagah dengan mempunyai satu blok bangunan empat tingkat,tiga blok bangunan setingkat,makmal komputer,surau dan kantin.SK Haji Ismail juga mempunyai 12 buah kelas,bilik guru,bilik mesyuarat,bengkel RBT,pusat sumber,bilik j-Qaf,bilik pemulihan,bilik pengawas,makmal sains,bilik PPDa,bilik gerakan PIBG,kelas pemulihan,stor dan kedai buku.

Dengan pertambahan fasiliti dan prasarana sekolah ini telah dapat menempatkan seramai hampir 400 orang murid beserta 32 orang guru,seorang Penolong Pegawai Teknologi Maklumat,3 orang staf pejabat,5 orang pekerja pembersihan dan 4 orang pengawal keselamatan swasta.

Menjengah usia hampir 100 tahun ( 1920’an – 2018 ), Sekolah Kebangsaan Haji Ismail telah dipimpin oleh seramai 22 orang guru besar.Sepanjang tempoh tersebut sekolah ini telah melahirkan ramai tokoh-tokoh dan individu yang berjaya di persada negara.Pelbagai kejayaan telah diraih oleh sekolah samada diperingkat Daerah,Negeri,Kebangsaan dan Dunia.Antara kejayaan tersebut ialah Anugerah Pengurusan PIBG Cemerlang Kebangsaan 2012 – 2014, Naib Johan Pertandingan Bilik Sumber PPDa Kebangsaan 2012, Anugerah Surau Imarah Sekolah Sekolah KPM Peringkat Kebangsaan 2013, Gangsa Tandas Terbersih Peringkat Kebangsaan 2014, mewakili Negeri Kedah dalam Pertandingan Program Sekolah Milik Masyarakat Peringkat Kebangsaan 2015,Mewakili Malaysia dalam Pertandingan Creative Story Writing sempena World Book Month di Korea Selatan dan pelbagai lagi kejayaan yang diraih.

 

SKHI : “Merialisasi Impian & Harapan”

Tuan Haji Ismail Bin Ibrahim AMN., JP.