KUBANG PASU
PENGENALAN
Lahirnya Kubang Pasu adalah kerana Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah II, Sultan Kedah (1804-1843) telah menghadiahkan daerah ini kepada Tunku Anum Tunku Abdul Rahman kerana membalas jasanya mengalahkan dan membebaskan Kedah daripada cengkaman pihak Siam dan meletakkan kembali Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah II di atas takhtanya. Tunku Anum menamakan negeri yang baru itu sebagai ” Kubang Pasu Darul Qiyyam ” atau ” Negeri Yang Teguh Berdiri “.
Daerah Kubang Pasu terletak paling utara di negeri Kedah Darul Aman. Ianya bersempadan dengan negara Thailand di sebelah utara, daerah Padang Terap di sebelah timur, daerah Kota Setar di selatan, negeri Perlis Indera Kayangan dan Selat Melaka di sebelah barat.
Daerah Kubang Pasu juga dikenali dengan jolokan Daerah Pendidikan kerana tumbuhnya institusi pendidikan & latihan kemahiran dengan banyaknya di daerah ini.Antaranya :
- Universiti Utara Malaysia
- Institut Aminudin Baki
- Kolej Matrikulasi Kedah
- Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman
- Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah
- Kolej Komuniti Bandar Darulaman
- Institut Latihan Perindustrian Jitra
- Institut Kemahiran Belia Negara Jitra
- Pusat Giat Mara Jitra
- Pusat Giat Mara Jerlun
- Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu
- Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu
- Maktab Rendah Sains MARA Kubang Pasu
Daerah Kubang Pasu mempunyai keluasan 94,596 hektar (945.971 km persegi). Sebahagian besar tanah daerah Kubang Pasu mempunyai tanah rata dengan sedikit berbukit di sebelah timur. Sebanyak 35% (33,773 hektar) tanah di daerah Kubang Pasu berada dalam kawasan MADA, manakala 65% (60,824 hektar) berada di luar kawasan MADA. Terdapat 21 mukim dalam daerah Kubang Pasu.
TEMPAT MENARIK UNTUK DILAWATI DI DAERAH KUBANG PASU
MEMUAT GAMBAR,SILA TUNGGU SEBENTAR..
MAKAM TENGKU ANUM
MAKAM PUTERI LINDUNGAN BULAN
GUA KERBAU
RIMBA REKREASI BUKIT WANG
FANTASIA AQUA PARK
TAMAN REKREASI TASIK DARUL AMAN
-
GUA KERBAU
Terletak di kaki Bukit Kepelu dan merupakan antara gua yang berpotensi dimajukan. Mempunyai keluasan kawasan lebih kurang 5.33 hektar. JabatanPengairan dan Saliran daerah Kubang pasu bertanggungjawab membangunkan beberapa kemudahan seperti menyediakan bangku-bangku untuk pengunjung serta memperindahkan kawasan sekitarnya. -
RIMBA REKREASI BUKIT WANG
Terletak di kompartmen 24 (2,140 ekar) Hutan Simpan Bukit Perangin dan mempunyai keluasan 9.09 hektar. Terletak 12 km dari Pekan Jitra atau 40 km dari Alor Setar dan boleh dihubungi dengan jalan raya. Terdapat beberapa ciri keistimewaan Rimba Rekreasi Bukit wang iaitu Sungai Tosak sepanjang 1.5 km dengan keunikan batu batannya sesuai sebagai kawasan mandi-manda, flora fauna yang hijau, denai hutan sejauh 3 km mengelilingi hutan lipur ini dan 1.5 km yang lain boleh menghubungkan hutan lipur ini dengan Hutan Lipur Puncak janing, batu dinding yang sesuai untuk aktiviti lasak dan mencabar, deretan pokok palma yang menarik serta deretan pokok Permatang Seraya yang berukuran melebihi 120cm diameter tumbuh secara semulajadi. Antara kemudahan-kemudahan yang disediakan di sini ialah 15 buah chalet, 16 buah pondok rehat, 3 unit tandas awam, 10 buah gerai, sebuah kolam renang untuk kanak-kanak, jambatan batu, 2.4 kilometer kawasan untuk jungle tracking, sebuah surau dan sebuah dewan untuk kemudahan para pelancong atau pelawat. -
TAMAN REKREASI TASIK DARUL AMAN
Taman Rekreasi Air Darul Aman berkeluasan 91.7 ekar adalah antara salah satu daya tarikan yang terdapat di daerah Kubang Pasu. Taman ini mempunyai tasik berkeluasan 26.3 ekar dan turut menyediakan trek pejalan kaki sepanjang 2.4 km. Taman Tema Air sesuai dikunjungi untuk tujuan beriadah kerana menyediakan kemudahan berkayak, serta permainan tema air yang menarik.